Jenis-jenis Nafsu
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' 'Ulum al-Din
dan Mukhtashar Ihya' 'Ulum al-Din menyebut nafsu itu ada tiga Martabat
iaitu:-
1) Nafsu al-Ammarah
Iaitu nafsu yang menyuruh melakukan segala maksiat dan kejahatan, dan
tidak pernah menyuruh melakukan kebaikan serta tidak pula mencela
(kesal) melakukan kejahatan. Pada tahap ini hati nurani tidak akan mampu
untuk memancarkan sinarnya kerana hijab-hijab dosa yang melekat tebal.
Dan tidak ada usaha untuk mencari jalan menyucikannya. Kerana itulah
hatinya terus kotor dan diselaputi oleh pelbagai penyakit. Inilah
martabat nafsu yang rendah sekali.
2. Nafsu al-Lawwamah
Nafsu lawwamah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri bila
berlaku suatu kejahatan dosa atas dirinya. Ianya lebih baik sedikit dari
nafsu amarah. Kerana ia tidak puas atas dirinya yang melakukan
kejahatan lalu mencela dan mencerca dirinya sendiri. Bila buat silap dia
lebih cepat sedar dan terus kritik dirinya sendiri. Perasaan ini
sebenarnya timbul dari sudut hatinya sendiri bila buat dosa, secara
automatik terbitlah semacam bisikan dilubuk hatinya. Inilah yang di
katakan lawwamah. Golonagn ini baramal tetapi masih ada riak, hasad
dengki dan sebagainya.
3. Nafsu al-Muthmainnah
Seseorang yang telah istiqamah dalam melakukan ibadah dan tidak lagi
tergerak hati untuk melakukan maksiat, sama ada zahir atau batin,
hatinya telah suci dan nafsunya telah fana daripada terdorong kearah
perkara keji. Mereka mendapat ketenangan dan hilang gelisah di jiwa,
mereka adalah wali kecil.
Antara sifat-sifat maqam ini adalah:
1. Taqwa yang benar.
2. Arif
3. Syukur yang benar
4. Tawakkal yang hakiki
5. Kuat beribadat
6. Redha dengan ketentuan Allah
7. Murah hati dan seronok bersedekah.
8. Dan lain-lain sifat mulia yang tidak dibuat-buat.
Al-'Arif Billah Syaikh Qasim al-Halaby dalam kitabnya Sair al-Suluk,
menyebut nafsu itu ada 7 martabat, selain tiga yang di atas ditambah 4
lagi iaitu:-
4. Nafsu Mulhamah.
Nafsu mulhamah ini
ialah nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari
sifat-sifat hati yang tercemar melalui beberapa latihan. Sifat orang
yang telah sampai pada tahap ini ialah rindu, menangis, susah hati
enggan terhadap semua makhluk, sibuk beribadah.
Antara sifat-sifat yang bernafsu mulhamah:
1. Sifat-sifat ketenangan,lapang dada dan tidak putus asa.
2.. Tak sayangkan harta
3. Qanaah.
4. Berilmu laduni
5. Merendah diri/ tawwadu’
5. Nafsu al-Radhiyah
Maqam ini dinamakan radhiyah kerana perasaan keredhaan pada segala
ketentuan dan hukuman Allah. Pada maqam ini sudah tidak ada rasa takut
dengan pada bala Allah dan tak tahu gembira dengan nikmatNya. Sama
sahaja. Apa yang penting Allah redha padaNya. Itu kalau sakitpun dah tak
perlu kepada ubat, sebab bagi dia sakit itulah nikmat kerana dia merasa
makin dekat dengan tuhannya. Wang ringgit sudah sama dengan daun kayu.
Emas sama dengan tanah. Dunia sudah dipandang kecil , malah sudah tidak
dipandang lagi sebaliknya dunia yang datang kepadanya.
Sifat-sifatnya:
1. Ikhlas
2. Warak
3. Zahid
4. Dan lain-lain lagi yang baik yang ada pada maqam sebelum ini
6. Nafsu al-Mardhiyyah
Pada peringkat ini segala yang keluar darinya semuanya telah diredhai
Allah. Perilakunya, kata-katanya, diamnya semuanya dengan keredaan dan
keizinan Allah belaka. Akan keluar keramat yang luar biasa. Mereka sudah
menanam ingatan pada Allah diteras lubuk hati mereka menerusi cara
"khafi-filkhafi", maknanya secara penyaksiaan 'basitiah' iaitu
penyaksian sifat ma'ani Allah yang nyata dan dizahirkan oleh diriNya
sendiri. Af'al diri mereka sudah dinafi dan diisbahkan secara langsung
kepada af'al Allah semata-mata.Jiwa mereka betul-betul sebati, ingatan
mereka terhadap Allah tidak sesaatpun berpisah darinya. Penyaksiaan
terhadap hak sifat Allah jelas baginya sehingga hilang dirinya nya
sendiri.
Sifat-sifatnya:
1.. Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah
2. Lemah lembut pergaulannya
3. Elok dan tingginya budi
4. Lain-lain sifat terpuji maqam sebelum ini.
7. Nafsu al-Kamaliah
Maqam ini adalah tertinggi. Maqam ini digelar sebagai "baqa billah",
Kamil Mukamil", Al Insan kamil kerana ia dapat menghimpunkan antara
zahir dan batin, yakni ruh dan hatinya kekal kepada Allah tetapi zahir
tubuh kasarnya tetap dengan manusia. Hati mereka kekal dengan Allah tak
kira masa dan tempat, tidur atau jaga sentiasa mereka bermusyahadah
kepada Allah. Ini adalah maqam khawas al khawas. Semua gerak geri mereka
sudah jadi ibadat. Hatta berak kencing mereka, tidur mereka dan
sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan