Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari.
Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga
bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih)
dan digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan atas kematian
suami. Ia juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong
oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.
Terdapat LIMA larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:
1. bertunang (secara berterus-terang)
2. berkahwin
3. berhias pada diri atau pakaian
4. tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu
KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)
Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang
kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan
atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti
fuqaha.
Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir bin
Abdullah berkata, maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan, kemudian
dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah
melarangnya (daripada keluar memetik nakhil), maka ibu saudaraku pergi
bertemu Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Bahkan pergilah
memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau
melakukan perkara yang baik.”
Para fuqaha mengqiyaskan hadis ini dengan wanita yang dalam iddah
kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar
rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tidak ada orang yang
menanggung nafkah mereka. [Sila ambil perhatian bahawa wanita yang
diceraikan, nafkahnya semasa dalam iddah masih ditanggung oleh suami
yang menceraikan. Jika suami engkar, buatlah aduan dan tuntutan di
Mahkamah Syariah].
Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud yang
tinggal berjiran bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, maksudnya:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari,
bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang
ke rumah kami.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bercakaplah sesama kamu
tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah
masing-masing.”
Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita dalam
iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi
dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha,
antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli
barang keperluan rumah. Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan
bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah
menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali jika itu
sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah (seperti
menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran
bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti menziarahi
orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya
sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah
dilarang mengerjakan haji atau umrah.
"Dan orang-orang yang meninggal
dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah
isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan
sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak
ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya
menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah),
Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu
lakukan.." (Surah al-Baqarah: 234)
Projek 8
10 tahun yang lalu
3 ulasan:
Salam Tuan,Terima kasih kerana berkunjung ke blog MMI..Semoga kita dapat saling bertukar-tukar pandangan..Salam perjuangan..
Oh ya blog Tuan telah dipautkan di blog MMI dlm ruangan informatif..selamat berjuang :)
trima kasih atas kunjungan anda.. semoga kita sama-sama memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat.. In Sha Allah...
Catat Ulasan